Tips Menembusi Pasaran Halal Antarabangsa
Pada 8 Mei 2020 yang lalu, telah diadakan program Fb Live sesi perkongsian yang bertajuk ΓÇ£Tips Menembusi Pasaran Halal AntarabangsaΓÇ¥. Sesi perkongsian itu telah diberikan oleh Pn Marina Muhamad dari #halaleducateyourself.
Dalam perkongsian tersebut beliau ada berkongsi pendapat dan mengutarakan jawapan kepada beberapa soalan yang telah diusulkan oleh audien antaranya ialah isu dan cabaran memasuki pasaran antarabangsa, keperluan mendaftarkan sijil halal, mengambil peluang memasarkan dalam situasi di luar jangkaan dan badan kerajaan yang boleh membantu pengusaha.
Pertama, isu atau cabaran yang dihadapi untuk memasuki pasaran antarabangsa bergantung pada sesebuah negara yang ingin ditujui. Pengusaha perlu mengenalpasti produk yang berpotensi dan boleh menarik perhatian pembeli di negara tersebut. Permintaan sesuatu produk adalah berbeza mengikut negara. Oleh itu, pengusaha perlu bijak dan membuat kajian terperinci sebelum memasarkan sesuatu produk.
Selain itu, keperluan mendaftarkan sijil halal bagi produk yang akan dipasarkan di luar negara adalah bergantung kepada syarat kemasukan produk luar yang ditetapkan. Sebagai contoh, Malaysia menetapkan syarat bahawa daging mentah yang ingin dipasarkan di Malaysia perlulah mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh badan halal tertentu. Indonesia juga menetapkan syarat mana-mana produk daging, bahan mentah dan flavoring yang ingin memasuki pasaran Indonesia perlulah memohon daripada Majlis Ugama Indonesia (MUI) manakala jika mahu memasarkan produk di Singapore perlulah memohon dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Oleh itu, sesuatu keputusan yang dibuat perlulah bergantung kepada syarat yang ditetapkan sesebuah negara dari segi pasaran produk luar.
Di samping itu, dalam menghadapi sesuatu keadaan di luar jangkaan pengusaha perlu bijak membuat perancangan untuk memasarkan produk. Pengusaha boleh mengambil pendekatan dengan memasarkan produk menggunakan platform atas talian iaitu e-dagang atau media sosial. Sebagai contoh, pengusaha boleh menggunakan platform Ali Baba untuk memasarkan produk ke pasaran luar negara secara atas talian di mana platform ini mempunyai kelebihan dari segi mengetahui kesahihan pembeli. Walau bagaimanapun, penggunaan e-dagang boleh menjadi suatu cabaran dari segi penetapan harga yang bersesuaian dengan mengambil kira kos tersembunyi dan sebagainya. Oleh itu, pengusaha perlu bijak mengambil peluang untuk memasarkan produk ke tahap yang lebih baik.
Selain itu, jika pengusaha ingin memasarkan produk ke pasaran luar negara terdapat beberapa badan yang bertanggunjawab dan boleh membantu pengusaha. Sebagai contoh, perbadanan pembangunan perdangangan luar malaysia (MATRADE) merupakan suatu agensi di Malaysia yang boleh membawa produk dari Malaysia ke luar negara. MATRADE boleh memberikan latihan kepada pengusaha yang ingin memasarkan produk ke luar negara. Syarikat perlu memastikan produk perlu memenuhi syarat sebelum dipasarkan. Terdapat juga agensi yang boleh memberikan pinjaman atau geran untuk pengusaha memasarkan produk ke luar negara. Oleh itu, pengusaha yang bercadang untuk memperluasakan pasaran produk boleh berjaya jika mereka membuat peancangan teliti dan sistematik.