Keperluan dan Peranan Eksekutif Halal
Sesebuah syarikat memerlukan tenaga pakar dalam mengurus, merancang dan melaksanakan operasi halal termasuklah pengurusan rantaian bekalan (supply chain management). Tenaga pakar ini dikenali sebagai eksekutif halal yang perlu dilantik oleh syarikat bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh JAKIM.  Tanpa eksekutif halal sesebuah syarikat akan menghadapi masalah di dalam melaksanakan sistem pematuhan halal yang sistematik dan berkesan.
- Takrif Eksektif Halal
Mengikut MS 1500 bahagian 4.1.2 Eksekutif Halal ialah seseorang yang bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan system kawalan dalaman halal. Selain itu MPPHM Semakan Ketiga (2014) menyatakan bahawa eksekutif halal ialah seorang muslim warganegara Malaysia yang berlatar belaknag kan pendidikan islam atau mempunyai sijil eksekutif halal dan bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan halal dalam syarikat. Manakala takrif dari Draft MPPHM Domestik (2019), eksekutif halal ialah seorang muslim warganegara Malaysia, berjawatan tetap di syarikat, memiliki sekurang-kurangnya Diploma pengurusan halal atau kelulusan yang setaraf dengannya atau berpengalaman dalam pengurusan halal sekurang-kurangnya lima tahun dan memiliki Sijil Eksekutif Halal daripada Penyedia Latihan Halal yang berdaftar di bawah Majlis Profesional Halal atau HPB. Eksekutif halal juga bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan halal di sesebuah syarikat.
Untuk mendapatkan Sijil Eksekutif Halal, seseorang itu hendaklah mendapatkannya daripada Pusat latihan yang diiktiraf oleh JAKIM, dan modul-modul pembelajarannya di kawal-selia oleh JAKIM. Pematuhan halal di sesebuah syarikat dapat dijalankan dengan membangunkan pengurusan yang sistematik seperti sistem kawalan halal dalaman berdasarkan saiz syarikat sama ada syarikat kecil mahupun syarikat besar.
- Kepentingan eksekutif halal
Kepentingan eksekutif halal dalam sesebuah syarikat amatlah besar dan penting kerana isu semasa berkaitan halal sangat berisiko dan perlu ditangani secara serius. Eksekutif halal perlu menjalankan tangungjawab mereka demi menjaga kepentingan umat islam selain perlu memastikan produk syarikat berada didalam keadaan yang baik, bersih, suci, selamat, berkualiti dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh bahagian pengurusan halal seperti JAKIM. Setelah mengikuti garis panduan tersebut, syarikat boleh menjalankan perniagaan tanpa was-was dan dapat mengelakkan isu-isu negatif berkaitan isu halal. Eksekutif halal yang kompeten, berkaliber, dan berpengetahuan boleh menjalankan tugas-tugasnya dengan baik. Selain itu Eksekutif halal perlu memastikan proses permohonan sijil halal hendaklah megikut syarat yang ditetapkan supaya dapat mengelakkan sebarang isu yang menjejaskan nama baik syarikat dan kepercayaan masyarakat. Sekiranya segala elemen dan tugasan sebagai eksekutif halal dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan maka ianya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat dan produk yang dikeluar mendapat sokongan dan kepercayaan oleh pengguna pada masa yang sama syarikat juga dapat menjana pendapatan secara konsisten. Produk halal menjadi nilai tambahan (value added) dalam perniagaan, oleh itu eksekutif halal berfungsi dan menjalankan peranannya membantu syarikat dan negara untuk mencapai misi dan visi negara sebagai pengeluar produk halal serantau yang diyakini dan dipercayai dengan mempraktiskan segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh badan pengurusan halal Malaysia.
- Implikasi jika tidak mempunyai eksekutif halal
Implikasi sekiranya tiada eksekutif halal di dalam sesebuah syarikat, syarikat tersebut tidak layak untuk mendapatkan sijil halal hal ini kerana perkara tersebut telah jelas dinyatakan di dalam MPPHM dan juga Malaysian Standard syarikat perlu melantik Eksekutif halal untuk mnegendalikan urusan yang berkaitan dengan halal dengan baik. Selain itu, implikasinya juga mempengaruhi sistem jaminan halal kerana ianya tidak dapat dijalankan dengan baik tanpa pengawasan eksekutif halal. Hal ini kerana syarikat memerlukan seorang yang kompeten untuk mengendalikan hal-hal berkaitan dengan halal dan semasa berhubung dengan badan halal seperti JAKIM.
- Kelayakan untuk melantik Halal Eksekutif
- Berpandukan keperluan dan syarat-syarat MS dan MPPHM
- Praktis Muslim; mengamalkan kehidupan seorang muslim yang baik, menjaga penampilan diri
- Ada usaha untuk memajukan diri/ roh halal dalam diri
- Keyakinan diri dan kebolehan menyakinkan orang
- Menghormati sensitiviti budaya dan kaum
- Cakna dengan isu-isu semasa yang berkaitan dengan halal
- Bersifat jujur dalam menjalankan tugas
- Mengambil tahu ekosistem halal di dalam dan luar negara
Mengikut kehendak pasaran, kuota eksekutif halal masih belum mencukupi. Eksekutif halal mempunyai masa hadapan yang cerah sebagai peluang kerjaya dalam industri halal dan bukan hanya fokus kepada eksekutif halal sahaja. Berdasarkan perangkaan pekerjaan dalam industri halal, terdapat pelbagai jawatan yang wujud seperti Penyelia (supervisor), eksekutif (executive), penolong pengurus (assistant manager), pengurus (manager), sehingga ke tahap yang paling tingggi malah berkemungkinan besar di masa hadapan wujudnya Chief Halal Officer atau pakar halal (halal expert). Dengan ini pemain-pemain industri halal boleh mengambil peluang ini untuk membangunkan kerjaya dan mendapatkan pengiktirafan profesional dalam bidang industri halal.
Bagi graduan yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang halal, selain dari kelayakan akademik, mereka perlulah melibatkan diri di dalam industri seperti industri makanan untuk menimba pengalaman dan memahami selok belok industri halal. Bagi graduan yang berminat menjadi eksekutif halal di luar negara seperti Korea dan Jepun, mereka hendaklah mendapatkan Sijil Eksekutif halal daripada penyedia latihan halal yang diiktiraf oleh JAKIM. Malahan di luar negara bukan sahaja jawatan eksekutif halal yang boleh dimohon terdapat juga beberapa pilihan lain seperti, membuka firma perunding halal (halal consultant), dan penyelidik (researcher).
Kesimpulannya, untuk menjadi seorang eksekutif halal yang berwibawa, seseorang itu hendaklah mempunyai semangat yang tinggi (passion), disiplin diri untuk menjaga nama baik diri sendiri, syarikat, masyarakat dan ummah, dan melibatkan diri dengan pihak-pihak yang berkaitan atau badan kerajaan seperti MATRADE,HDC, Jabatan Agama Islam Negeri dan lain-lain.
Sumber: facebook.com/holisticslab