Kawalan produk kosmetik di Malaysia

Mengikut garis panduan kawalan produk kosmetik di malaysia, produk kosmetik didefinisikan sebagai mana-mana bahan atau penyediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia (kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar kelamin) atau gigi dan membran mukus mulut dengan tujuan utama untuk membersih, mewangikan, mengubah rupa dan/atau memperbaiki bau badan dan/atau melindungi atau mengekalkan dalam keadaan baik.

Produk kosmetik diletakkan di bawah kawalan Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Peraturan-peraturan ini berkaitan dengan kawalan keselamatan, kualiti dan tuntutan produk untuk memastikan semua tuntutan kosmetik boleh disokong dengan data yang mencukupi, bagi tujuan melindungi dan menggalakkan kesihatan awam.

Mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2008, kesemua produk yang dipasarkan di Malaysia perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM sebelum dijual, diedarkan, diimport di Malaysia. Proses notifikasi merupakan proses pengisytiharan berkenaan maklumat produk oleh pihak syarikat sebelum produk tersebut dipasarkan di pasaran Malaysia. Produk yang telah menjalani notifikasi tidak bermaksud produk tersebut telah diluluskan oleh KKM.

Setiap pengusaha produk kosmetik perlu memastikan bahawa produk yang dipasarkan berkualiti dan selamat digunakan. Produk yang dihasilkan perlu mematuhi keperluan garis panduan Amalan Pengilangan Baik (APB) dan tidak mengandungi sebarang bahan terlarang atau melebihi had seperti yang termaktub dalam garis panduan kawalan produk kosmetik di Malaysia.

Produk kosmetik yang telah bernotifikasi dengan NPRA perlu dipantau secara berterusan melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi. Antara aktiviti utama bagi Program ini termasuklah penyaringan maklumat produk, audit ke atas Fail Maklumat Produk, penyampelan produk untuk ujian kualiti, pemantauan kepatuhan label, pemeriksaan premis pengilang bagi memastikan pematuhan kepada keperluan APB dan pemantauan iklan produk bernotifikasi serta memantau laporan kesan advers dan menjalankan penyiasatan ke atas aduan yang diterima berkaitan produk kosmetik. Sekiranya terdapat produk kosmetik yang tidak mematuhi keperluan garis panduan dan undang-undang maka NPRA akan mengambil tindakan membatalkan notifikasi produk dan/atau syarikat perlu menarikbalik produk dari dipasarkan.

Sumber:

http://www.myhealth.gov.my/kawalan-produk-kosmetik-di-malaysia/

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

error

Enjoy this blog? Please spread the word :)