5 Tips Mendapatkan Sijil Halal Dengan Mudah.
Pada 1 Mei 2020, HOLISTICS Lab Sdn Bhd telah menganjurkan program sesi perkongsian secara atas talian dengan mengupas topik yang menarik mengenai cara untuk mendapatkan sijil halal dengan mudah. Topik ini telah dikupas dengan lebih lanjut dalam masa 30 minit oleh Dr Mohd Iskandar Ilyas Tan yang merupakan Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HOLISTICS Lab Sdn Bhd.
Logo halal merupakan simbol penting yang menjadi rujukan orang ramai khususnya Muslim untuk membeli dan menggunakan produk atau perkhidmatan tanpa was-was. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir orang yang merasakan bahawa permohonan sijil halal merupakan suatu proses yang rumit walaupun hakikatnya proses permohonan sijil halal adalah mudah.
Oleh itu, bagi meleraikan salah faham orang ramai tentang proses permohonan sijil halal maka Dr Iskandar telah menghurai dengan lebih lanjut mengenai cara mudah mendapatkan sijil halal. Menurut Dr Iskandar, jika dokumen yang disediakan mencukupi maka proses permohonan sijil halal akan menjadi lebih mudah. Berdasarkan sesi perkongsian tersebut Dr Iskandar telah menggariskan 5 tips mendapatkan sijil halal.
Tips pertama, motivasi. Pengusaha perlu mengenalpasti tujuan dan objektif syarikat atau organisasi memerlukan sijil halal. Sebagai contoh, mungkin jika ada logo halal dapat meningkatkan hasil penjualan dan menembusi pasaran antarabangasa. Oleh itu, pemohon boleh mengisi permohonan untuk mendapatkan sijil halal. Tips kedua, syarat kelayakan. Pengusaha perlu memastikan bahawa produk atau perkhidmatan tergolong dalam skim pensijilan halal. Terdapat 8 skim pensijilan halal yang telah digariskan oleh JAKIM iaitu makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, rumah sembelihan, logistik dan OEM. Jika produk atau perkhidmatan terdiri daripada 8 skim ini, pengusaha perlu mengenalpasti saiz syarikat sama ada mikro, kecil, sederhana atau MCN. Keperluan setiap syarikat adalah berbeza bergantung pada saiz syarikat.
Tips ketiga, pengetahuan. Pengusaha perlu mempunyai pengetahuan asas untuk dapatkan sijil halal. Terdapat banyak pusat latihan yang menyediakan program latihan berkaitan dengan halal. Tips keempat, membuat perancangan mengenai dokumen yang perlu disediakan untuk dapatkan sijil halal. Dalam program latihan akan diberitahu mengenai keperluan yang perlu disediakan. Sebgai contoh, dokumen seperti lesen perniagaan, sijil SSM, sijil halal pihak pembekal dan sebagainya perlu disediakan bagi memohon sijil halal. Tips kelima, membuat permohonan untuk sijil halal malaysia. Pengusaha perlu memastikan semua dokumen lengkap disediakan. Permohonan boleh dibuat secara atas talian di www.halal.gov.my
